"true love does not come by finding the perfect person, but by learning to see an imperfect person perfectly"

Custom Search

Sunday, April 18, 2010

muktamad

dalam beberapa lama ini, aku berdiam diri.. aku declarekan kepada semua bahawa aku mempunyai teman lelaki. dan aku bersetuju kepada lelaki itu untuk menjadi teman lelakinya dan dia pula menjadi teman lelaki aku. ini semua kerana kebaikan dan keikhlasan yang ditunjukkan olehya kepada aku, dan akhirnya kami bersetuju untuk menjadi pasangan kekasih. tambahan pula, aku memang sudah lama ingin merasai kehidupan berpasangan sebagai seorang gay.

beberapa minggu berlalu, aku mula merasai perasaan dan kehidupan sebagai pasangan kekasih. mulanya aku gembira kerana ada orang yang menyayangi diriku, walaupun aku akui perasaan cinta atau sayang dalam diriku masih terlalu tipis terhadapnya. tidaklah sebegitu cepat untukku menanamkan perasaan sayang kepada sesiapa sahaja yang baru kutemui. proses perkenalan sebagai kawan kepada kekasih berlaku terlalu pantas dan bagaikan satu kejutan buatku.

namun begitu, kukuatkan diri dan kucuba untuk memahami perubahan statusku dan meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk itu. aku tidak kisah itu semua, memang pengorbanan perlu dalam menjalin sebuah perhubungan.

tapi. lama-kelamaan kurasakan diriku seperti menolak semua ini. kurasakan ini bukanlah apa yang aku cari selama ini. aku ketahui perbuatanku ini berdosa, malah mungkin dosa besar.. tetapi kulangkahkan juga kakiku ini menghadapinya. suatu masa dulu, aku bertekad untuk berubah, tapi sekarang aku semakin terjerumus. apa sebenarnya yang aku mahu...??

bila aku berseorangan, single dan hidup sendiri; aku inginkan pasangan kekasih.. tetapi bila aku memiliki seorang lelaki yang benar-benar menyayangiku; aku pula rasa menyesal kerana semakin terjerumus ke lembah gay dan maksiat ini. apa sebenarnya mahuku??

sebenarnya inilah isi hati seorang hamba yang lemah imannya. ada masa, kulawan nafsu diri dan bisikan syaitan.. tetapi ada masanya kuhanyut dibuai kenikmatan dunia gay yang sementara.

2010 menandakan genapnya umurku mencecah 25 tahun. suku abad yang mana aku sebenarnya telah mula masuk ke fasa di mana kebanyakan lelaki sedang bersiap sedia untuk ke ambang perkahwinan. mengumpul duit ke arah itu. merancang dengan pasangan masing-masing untuk ke arah itu. sebagai seorang lelaki, aku juga ingin mengalami itu semua, tapi bila..???

aku tidak akan menipu sesiapa untuk mengahwini aku selagi nafsuku masih songsang. selagi aku seperti ini, selagi itulah aku akan membujang selamanya. dan hubungan percintaan dan kasih sayang songsang akan aku elakkan sedaya upayaku. inilah hakikat yang akan aku hadapi selagi nyawaku di dalam jasad.

jika umurku panjang, aku berharap semoga berlaku keajaiban agar naluri ku menjadi normal, dapat bertemu dengan wanita terbaik untukku, berkahwin dan memiliki zuriat untuk aku dan keluargaku. tapi kiranya umurku tidak sepanjang mana, aku berharap semoga aku terpelihara daripada segala maksiat yang menjurus kepada kegiatan gay dan matiku dalam keadaan yang terbaik di sisi Tuhanku.

kepada insan yang aku tidak tahu sama ada masih menyayangi diri aku lagi atau tidak, aku meminta maaf kerana tidak dapat meneruskan hubungan ini. aku telah mencuba sedaya upaya, hakikatnya ini lah pilihan muktamad ku. maafkan aku kerana tidak berbincang dan lama mendiamkan diri. aku malu untuk berdepan denganmu. semoga apa yang pernah kita lalui menjadi kenangan untuk kita. dan apa-apa yang tertinggal padaku, aku berharap semoga aku dibenarkan untuk menyimpannya. biarlah ia menjadi kenangan untukku juga.

semoga kau memahami perasaanku dan memaafkan aku..

aku berharap benar agar kekuatan yang ada pada diriku hari ini akan berkekalan selamanya, agar dapat kumengelak segala pengaruh-pengaruh luar yang cuba membisik di telingaku.

semoga aku diberikan kekuatan.

time for miracles